Jumaat, 19 Februari 2010

Sekadar Renungan

SABDA Rasulullah SAW: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak daging itu, maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual termasuk akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, perbuatan, perilaku dan sikap seseorang dipengaruhi olehnya.
Sifat hati pula terbahagi empat iaitu kebuasan, kebinatangan, kesyaitanan dan ketuhanan. Tiga sifat pertama terbabit pula bukan mudah untuk dibuang, malah akibat daripada itu ramai umat Islam kecundang hingga akhirnya melakukan dosa besar.
Manakala sifat terakhir iaitu ketuhanan saja yang akhirnya mampu membawa kita ke jalan benar dan diredai Allah SWT, tetapi bukan mudah melakukannya kerana hanya yang benar-benar mahu berubah mampu melaksanakannya.
Secara umumnya, untuk membersihkan hati yang kotor, kita hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT.
Hati juga boleh diubati dengan mengamalkan beberapa perkara iaitu membaca al-Quran dan memahami serta mentadabbur maksudnya, meningkatkan amalan solat sunat pada waktu malam dan banyakkan menangis bertaubat kepada Allah SWT, berkawan dengan orang soleh juga alim ulama.
Selain itu, amalan lain ialah membiasakan diri dengan berpuasa sunat, kerap berzikir waktu siang atau malam serta sentiasa mengingati mati.